UPSI Rangka Kurikulum Baru Pendidikan Khas
12 April 2012
MELAKA, 12 April (Bernama) -- Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan merangka kurikulum baru yang menerapkan
model perubatan dalam program pendidikan khas di negara ini.
Naib Canselornya Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata
kurikulum tersebut akan merangkumi aspek terapi percakapan, optometris dan
pemakanan.
Beliau berkata pihaknya telah menghantar 10 pegawai ke luar negara bagi
mengikuti pengajian dalam bidang tersebut sebelum pulang bagi memberi pandangan
berhubung kurikulum itu.
"Kumpulan pertama pegawai ini yang terdiri daripada pakar terapi
percakapan akan pulang pada Julai ini selepas pengajian kira-kira lima tahun di
Australia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian penutup
Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri
Mohd Ali Rustam di sini, Khamis.
Persidangan yang disertai 148 peserta termasuk dari Australia, New Zealand,
Hong Kong dan Indonesia itu bertujuan menyediakan platform bagi ahli akademik,
penyelidik, pendidik, ibu bapa dan individu untuk berkongsi hasil penyelidikan
dan produk berkaitan dengan pendidikan khas.