CYBERJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar sistem pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan tinggi dan institut kemahiran dikaji semula untuk memberi tumpuan dalam latihan praktikal.
Beliau berkata sistem pendidikan Malaysia yang diwarisi daripada era British lebih menekankan kepada pembelajaran menerusi buku.
Namun, beliau berkata latihan praktikal kini terbukti memudahkan proses pembelajaran dalam melahirkan tenaga kerja yang cekap, mahir dan berkualiti.
"Belajar dari kerja sebenar adalah cara terbaik untuk belajar. Ia adalah lebih mudah difahami dan tidak mudah lupa berbanding teori akademik, saya mengalaminya sendiri.
"Untuk melahirkan tenaga kerja yang lebih cekap untuk meningkatkan produktiviti negara, kerajaan boleh mencuba sistem yang berlainan (berasaskan latihan praktikal)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KRU Academy di sini Isnin.
-- BERNAMA