edge
 
Bahasa: melayuenglish    Saiz Huruf: reduce reset font increase rssrss
  Pelajar IPT wajib memohon pinjaman PTPTN dahulu. Sekiranya permohonan ditolak, maka anda layak memohon Skim Pinjaman Pelajaran Yayasan Sarawak.
edge
   

BERITA SEMASA
Semua Koleksi

Misi lahir belia mahir bidang automotif
18 July 2017
MAG1C beri peluang kedua kepada golongan tercicir akademik melalui kemahiran

MUKADIMAH: PAHIT getir bermula dari bawah sehingga akhirnya berjaya memiliki pusat servis kenderaan di Senawang, Negeri Sembilan mendorong Pengarah Urusan MAG Auto Garage, ZAMANI BAHAROM membantu generasi muda untuk mengikut jejak langkahnya.

Zamani  BAHAROM (enam dari kanan) bersama pekerja dan aperentis 4
ZAMANI BAHAROM (enam dari kanan) bersama pekerja dan aperentis di bengkel kereta MAG Auto Garage di Senawang, Negeri Sembilan. Turut kelihatan isterinya, Dr. Azlina Ahmad ( tujuh dari kanan) yang menjadi tulang belakang kejayaannya.

Hasil pengalaman luas dalam bidang pemotoran, beliau menubuhkan Malaysia Advance Generation 1Community (MAG1C) kira-kira enam tahun lalu, bagi melatih sendiri belia dalam bidang penyelenggaraan kereta dan juga keusahawanan.

Menerusi modul latihan yang efektif, MAG1C telah menawarkan Kursus Asas Penyelenggaraan Kenderaan, Pengendalian Mesin dan Asas Keusahawanan (Aspek) kepada belia dari umur 17 hingga 35 tahun yang mendapat tajaan pelbagai agensi antaranya Felda dan Felcra.   
Dalam temubual dengan Wartawan Utusan Malaysia HARADIAN SHAH HAMDAN dan jurugambar ASWAD YAHYA baru-baru ini, Pengerusi MAG1C itu berkongsi pengalaman tentang usaha membangunkan belia yang kurang cemerlang dalam akademik agar memilih kemahiran automotif sebagai kerjaya dan sumber pendapatan.


Apakah objektif utama penubuhan MAG1C?

MAG1C didaftarkan pada tahun Disember 2011 dengan tujuan mendekatkan belia kepada kemahiran dalam bidang automotif. Dalam masa yang sama, kita membudayakan semangat keusahawanan kepada mereka. Kebanyakan belia yang diambil menyertai program kemahiran ini merupakan mereka yang tercicir dari segi akademik.

Kita latih dan cuba wujudkan peluang kedua atau platform baharu kepada mereka melalui kemahiran.

Cabaran utama yang perlu dihadapi adalah untuk membimbing sikap dan mentaliti mereka. Itulah kunci untuk menjayakan pembangunan modal insan. Manusia kalau ada sikap baik, apa yang diajar senang untuk mereka faham.


Bagaimana timbulnya idea untuk mewujudkan usaha seumpama ini?

Saya bermula dari bawah dengan membuka bengkel di bawah pokok. Saya sendiri belajar setakat tingkatan tiga. Pada zaman itu kalau nak sambung belajar sekurang-kurangnya tamat tingkatan lima.

Apabila memulakan usaha ini, saya teringat diri saya dahulu dan ini yang mendorong saya. Sebab itu saya sanggup buat pinjaman dengan PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) untuk mengadakan program kemahiran ini.

Bagi saya, pelajar yang kurang cemerlang dan nakal sebenarnya mempunyai kreativiti berfikir, kalau jumpa orang yang betul maka betullah hala tuju mereka.

Sebab itu pada permulaan dulu antara pelatih awal saya ialah seorang remaja Orang Asli berusia 16 tahun dari Labu, Negeri Sembilan yang mengalami masalah keluarga. Alhamdulillah, hari ini dia mempunyai kerja yang baik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Berapa ramai yang telah menyertai latihan kemahiran dengan MAG1C?

Sejak enam tahun lalu, kita telah melatih 100 peserta di bawah tajaan Felda, 100 peserta Belia 1Malaysia di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta 18 orang belia Yayasan Sarawak.

Peserta akan ditemuduga terlebih dahulu kerana kita mahu kenal pasti sama ada mereka benar-benar minat. Kita tidak tangkap muat sahaja.

Kalau mereka ada keinginan, lebih mudah diterapkan nilai kerjaya, keusahawan dan sasaran masa depan. Program yang kita adakan berjalan selama enam bulan di bengkel MAG Auto Garage dengan 20 pelatih bagi setiap pengambilan.

Apakah bentuk kemahiran yang ditawarkan?

Sepanjang tiga bulan pertama, pelatih diberi pendedahan tentang penyelenggaraan kenderaan seperti menukar minyak enjin, penapis minyak enjin, penapis udara, menukar palam pencucuh, servis radiator, menyelenggara sistem penyejukan enjin, menyelenggara brek dan banyak lagi.

Mereka juga akan dilatih mengendalikan mesin yang biasanya digunakan dalam industri automotif seperti seperti mesin larik, mesin kisar, mesin kimpalan, me-sin dyno dan peralatan mengimbas.

Elaun sebanyak RM200 turut diberikan, selain tempat tinggal dan mereka akan dilatih oleh lima tenaga pengajar terlatih.

Dalam tempoh tiga bulan sebelum tamat program, mereka turut diberi pendedahan keusahawanan dan panduan mencari pekerjaan sesuai. Mereka diperkenalkan kepada agensi-agensi yang boleh membantu dan mendedahkan mereka kepada industri sebenar.

Ke manakah hala tuju mereka selepas selesai latihan?

Beberapa pelatih telah disalurkan ke industri automotif seperti di kilang kereta Proton di Shah Alam selain kilang Honda di Alor Gajah, Melaka. Ada yang bekerja di bengkel dan pusat servis selain diserapkan untuk bekerja di bengkel MAG Auto Garage sendiri. Yang membanggakan lima daripada belia yang dilatih berjaya membuka bengkel sendiri. Ada juga yang menyambung pelajaran dalam bidang automotif.

Apakah bantuan yang diberikan kepada pelatih yang ingin membuka bengkel sendiri?

Ada belia yang belajar dengan kita dan diambil sebagai rakan kongsi supaya akhirnya mereka boleh berniaga. Apabila mereka rasa bersedia, kita bantu mereka untuk buka bengkel. Kita bantu dari segi urusan pendaftaran syarikat, bank dan juga pengiklanan. Kita beri maklumat dan menjadi pengantara dengan agensi yang boleh menolong mereka. Ramai anak muda tidak tahu saluran dan cara untuk berurusan dengan agensi-agensi ini.

Apabila mereka sudah buka bengkel, saya juga beri bantuan susulan dan panduan, contohnya berkaitan alat ganti kenderaan dan penyelenggaraan kenderaan. Kami berhubung melalui panggilan video. Walaupun kadangkala memenatkan, saya gembira dan puas dapat membantu anak-anak muda ini kerana mereka boleh berjaya.

Apakah harapan dan perancangan masa depan MAG1C?

Saya merancang mewujudkan akademi automotif atau hab untuk golongan remaja yang tercicir supaya mereka melibatkan diri dalam bidang kemahiran.

Kalau ada akademi seumpama itu pembelajaran akan lebih menyeluruh kerana memiliki kemudahan hostel, surau dan tempat makan. Ini juga akan memudahkan kita terapkan pelbagai elemen dan nilai murni secara lebih berkesan.

Ia juga akan menjadi wadah perjuangan saya untuk membantu generasi muda dan orang Melayu bersaing dalam dunia pekerjaan.

MAG1C sudah buktikan kita boleh buat dalam skala kecil dengan kemampuan kita yang terhad, sedangkan ramai lagi yang sebenarnya perlu dibantu.

Kalau ada agensi bertanggungjawab yang nampak perkara ini dan sedia membantu, kita boleh buat secara komersial dengan me-libatkan lebih ramai pelatih.


Advertisement

Source : Utusan Online

 
Bahasa Malaysia English


 

paybil mobile web

aplikasi talikhidmat QR code

additional

iso
yes
   
         
         
   
Laman Utama | Hubungi Kami | Peta Laman
< Balik     ^ Ke Atas
   
 
Copyright & Disclaimer | Privacy Policy | Terms & Conditions | Site Requirements

© Yayasan Sarawak

Yayasan Sarawak, Wisma Adenan,
Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak, MALAYSIA.
 
Kemaskini Terakhir: 20 September 2017 10:18:00
55654661 since 6 Jun 2009

Projek Gemilang   star