1,609 Pelajar Peroleh 9 A+ Hingga 12 A+ SPM 2011 Ditawar `Bursary`
10 April 2012
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Semua 1,609
pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 9 A+ hingga 12 A+ dalam Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 ditawarkan "bursary" (bantuan kewangan
pengajian) secara automatik untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan
atau prauniversiti dalam negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata bantuan kewangan itu disediakan Kementerian Pelajaran untuk
pengajian di peringkat prauniversiti sebelum pelajar melanjutkan pengajian
peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata tawaran bantuan kewangan
pengajian kepada 1,020 pelajar yang memperoleh 9A+, 492 pelajar 10A+, 90
pelajar 11 A+ dan tujuh pelajar 12 A+ adalah secara automatik tanpa mengira
etnik, kaum, keturunan dan latar belakang itu adalah tanda keprihatinan
kerajaan mengiktiraf kecemerlangan pelajar berkenaan.
"Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang
menunjukkan keputusan peperiksaan cemerlang tetapi tidak berjaya mendapat
penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan
kerana persaingan amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan cemerlang.
"Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai kekangan daripada segi peruntukan
kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat," katanya dalam
satu kenyataan di sini, Selasa.
Muhyiddin berkata bagi pengambilan tahun ini, kerajaan membelanjakan sejumlah
RM2.12 bilion untuk membiayai kos keseluruhan pengajian pelajar di universiti
dalam dan luar negara.
Beliau berkata program prauniversiti dalam negara yang ditawarkan bantuan
kewangan ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Program
Asasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang menjurus kepada pengajian di
institut pengajian tinggi (IPT) tertentu di dalam negara dan International
Baccalaurate (IB) atau A-Level.
Namun, katanya bagi kemasukan ke IPT awam dalam negara kelayakan IB dan A-Level
terhad kepada bidang selain daripada bidang kompetitif membabitkan perubatan,
pergigian dan farmasi.
Timbalan Perdana Menteri berkata pemberian bantuan kewangan itu tertakluk
kepada pelajar telah ditawarkan atau ditempatkan di pusat persediaan ditetapkan
kerajaan di mana semakan dan pengemaskinian profil pelajar Program Bursary
boleh dibuat di www.moe.gov.my mulai 16 April ini.
Muhyiddin berkata bagi mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
program ijazah luar negara bermula 2014, pelajar lepasan Program Bursary perlu
mencapai sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan setara
di peringkat persediaan.
Pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi, katanya mendapat tawaran tanpa
syarat daripada mana-mana 10 universiti terkemuka dunia berdasarkan kepada
senarai dikemas kini setiap tahun dan telah mendapat pengiktirafan.
Muhyiddin berkata pelajar bidang lain pula mendapat tawaran tanpa syarat
daripada mana-mana 50 senarai universiti terkemuka berdasarkan kepada senarai
yang dikemas kini setiap tahun mengikut bidang dan telah diiktiraf.
Bagi penajaan program ijazah dalam negara kepada 10,300 pelajar lepasan
mana-mana program persediaan untuk mengikuti Ijazah Pertama, Muhyiddin berkata
pelajar perlu mencapai sekurang-kurangnya CGPA 3.5 dan setara di peringkat
persediaan dan mendapat tawaran dalam program diiktiraf di semua IPTA kecuali
Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan IPTS bertaraf syarikat berkaitan
kerajaan (GLC), iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi
Petronas (UTP) dan Universiti Multimedia (MMU).
Selain itu, pelajar yang mendapat tawaran pengajian di kampus-kampus cawangan
universiti luar negara di Malaysia iaitu University of Nottingham, Monash
University, Swinburne University of Technology, Curtin University of Technology
dan Newcastle University Medicine (NUMed) Malaysia dan IPTS lain seperti AIMST
University, UniKL-Royal College of Medicine Perak, University College Sedaya
International, Cyberjaya University College of Medical Sciences, International
Medical University dan Universiti Perdana dan IPT lain yang dipersetujui
kerajaan dari semasa ke semasa layak mendapat penajaan pengajian.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi mengikuti program tajaan JPA dalam
Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman dalam bidang kejuruteraan,
pelajar perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui laman
sesawang JPA, dengan memenuhi empat kriteria iaitu faktor ko-kurikulum, latar
belakang sosio-ekonomi keluarga dan temuduga.
Semasa proses temuduga, katanya pelajar turut dinilai di bawah Student
Assessment Centre (SAC), satu kaedah penilaian dan pemilihan pelajar yang lebih
komprehensif berdasarkan kompetensi yang ditetapkan meliputi minat,
tatakelakuan, kepimpinan, patriotisme, kreativiti, ketahanan dan keyakinan
diri.
Muhyiddin berkata program yang disediakan untuk 300 pelajar itu diteruskan bagi
menghormati persefahaman dan kerjasama antara negara serta mengeratkan hubungan
dua hala yang sedia terjalin.
"Memandangkan syarat kelayakan masuk ke IPT di negara berkenaan menekankan
kemahiran bahasa masing-masing selain pencapaian akademik, maka pelajar perlu
mengikuti persediaan yang menekankan ciri-ciri khas yang diperlukan berbanding
kelayakan biasa seperti IB dan A-Level," katanya.
Beliau berkata pelajar cemerlang lepasan program persediaan, yang tidak ditaja
di bawah Program Bursary tetapi ditawarkan mengikuti Program Ijazah Luar Negara
(PILN) mulai 2014 di universiti terkemuka dunia, boleh memohon tajaan JPA
secara dalam talian di mana prosedur adalah sama seperti permohonan tajaan
Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.
Muhyiddin berkata pelajar yang ingin memohon PILN perlu mencapai
sekurang-kurangnya CGPA 3.5 dan setara di peringkat persediaan; pelajar bidang
perubatan, pergigian dan farmasi yang mendapat tawaran tanpa syarat daripada
mana-mana 10 universiti terkemuka dunia berdasarkan kepada senarai yang dikemas
kini setiap tahun dan telah mendapat pengiktirafan; dan pelajar bidang lain
yang mendapat tawaran tanpa syarat daripada mana-mana 50 senarai universiti
terkemuka berdasarkan kepada senarai yang dikemas kini setiap tahun mengikut
bidang dan telah diiktiraf.
"Program tajaan PILN meliputi bidang kritikal iaitu perubatan, pergigian,
dan farmasi serta bidang profesional melibatkan kejuruteraan, seni bina,
perancang bandar serta bidang keutamaan dan strategik seperti sains tulen,
perakaunan, undang-undang, pentadbiran, ekonomi dan bidang-bidang lain yang
ditetapkan oleh kerajaan menerusi 12 bidang utama di bawah Bidang Keberhasilan
Utama Negara (NKEA)," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata penajaan JPA bagi mengikuti pengajian di
peringkat universiti terkemuka bagi tahun 2011 hingga 2012 dikategorikan
berdasarkan empat bidang utama iaitu bidang klinikal, praklinikal dan
kesihatan, bidang sains hayat, bidang kejuruteraan dan teknologi serta bidang
sains kemanusiaan.
Daripada lebih 50 universiti terkemuka dunia yang disenaraikan, beliau berkata
Universiti Oxford, Universiti Harvard, California Institute of Tecnology dan
Universiti Stanford menduduki tempat teratas dalam menawarkan bidang yang
diberi tumpuan dalam penajaan JPA.
Mengenai Program Biasiswa Nasional (PBN) yang diberikan kepada 50 pelajar
paling cemerlang dalam SPM 2011 untuk melanjutkan pelajaran ke universiti
terkemuka dunia, Muhyiddin berkata penajaan dibuat mengikut senarai Kementerian
Pelajaran iaitu berasaskan merit akademik.
"Calon-calon yang terpilih akan ditawarkan biasiswa daripada peringkat
persediaan hingga ke peringkat Ijazah Pertama yang tertakluk kepada
syarat-syarat ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat
pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti yang disenaraikan oleh
JPA," katanya.