Pelajar Cemerlang Tajaan Kerajaan Perlu Kembali Berkhidmat Kepada Negara - TPM
19 April 2012
KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Pelajar
cemerlang yang menerima tajaan kerajaan untuk melanjutkan pelajaran di luar
negara dinasihat supaya mengambil peluang untuk menyerlahkan potensi diri dan
kembali berkhidmat kepada negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata ini kerana kadang kala, potensi seseorang individu hanya akan
dapat diserlahkan apabila mereka diberi peluang.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata dalam mengharungi persekitaran
global yang semakin kompetitif dan mencabar tidak mustahil generasi pelajar
yang ditaja hari ini akan mencapai kejayaan yang tidak mampu dicapai ketika
ini.
"Sehubungan itu, saya ingin berpesan kepada pelajar sekalian selaku
generasi muda bahawa masa depan negara kita terletak di bahu anda semua.
"Oleh itu, gunakanlah peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh dan
apabila tamat pengajian nanti, curahkanlah khidmat bakti anda kepada
negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian surat tawaran
Biasiswa Nasional kepada 50 pelajar yang mendapat A+ bagi semua mata pelajaran
dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di Institut Tadbiran Awam
Negara di sini, pada Khamis.