Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta Dan Rang Undang-undang Institusi Pelajaran Dilulus
19 April 2012
KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Rang
Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-undang
Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) 2012 yang bertujuan
memberi peluang kepada pelajar menyertai parti politik, diluluskan dengan
pindaan oleh Dewan Rakyat malam Khamis.
Pindaan yang dibuat pada Rang Undang-undang
Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2012 melibatkan subseksyen
47(2)(c) yang bercadang menghalang pelajar bertanding dalam pilihan raya bagi
atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau
kumpulan pelajar di dalam kampus jika pelajar itu memenang apa-apa jawatan
dalam satu parti politik, dibatalkan.
Manakala pindaan pada Rang Undang-undang Institusi-institusi Pelajaran
(Tatatertib) (Pindaan) 2012 turut membatalkan subseksyen 10(2)(2) yang
dicadangkan untuk menghalang pelajar daripada bertanding dalam pilihan raya
bagi atau memengang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan, pertubuhan,
badan atau kumpulan pelajar dalam kampus jika pelajar itu memegang apa-apa
jawatan dalam sesuatu parti politik.
Larangan tersebut juga bertujuan untuk mengekalkan keberkecualian di dalam
kampus.