TEMERLOH, 3 April (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi memperuntukkan RM10 juta sebagai biasiswa untuk atlet yang cemerlang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) tahun ini.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah berkata biasiswa itu juga sebagai galakan kepada atlet agar aktif di dalam sukan sehingga mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
"Seramai 178 atlet mahasiswa yang cemerlang dan berjaya di dalam sukan akan menerima biasiswa itu tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pahang 2012, di sini Selasa.
Katanya, KPT menawarkan kursus dalam bidang sukan seperti Sains Sukan yang terdapat beberapa universiti di negara ini.
"Institusi pengajian tinggi juga bukan sahaja menawarkan kursus dalam bidang Sains Sukan, malah bidang Sains Kejuteraan, Psikologi Sukan dan Sukan Rekreasi.
-- BERNAMA