Semua Sekolah Dapat Bekalan Air Bersih, Elektrik Tahun Depan - Muhyiddin
18 April 2012
KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Semua
sekolah di seluruh negara akan mendapat bekalan air bersih dan elektrik yang
sempurna serta mencukupi pada tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata
buat masa ini sebanyak 46 projek bekalan air masih belum beroperasi kerana
pelaksanaan projek bekalan elektrik belum siap sepenuhnya.
"Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kementerian merancang
untuk melaksanakan projek bekalan air bersih bagi memastikan semua sekolah di
seluruh negara dibekalkan dengan air bersih," katanya dalam jawapan
bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan
Rakyat hari ini.
Katanya sebanyak 570 buah projek bekalan elektrik di seluruh negara telah
dilaksanakan di bawah RMK-9 dan RMK-10 membabitkan 42 projek di Semenanjung,
Sabah (179) dan Sarawak (427).
Beliau berkata kementerian juga merancang untuk melaksanakan 1,605 projek
penyelenggaraan di bawah program Pakej Ransangan Khas (PRK) 2012 di seluruh
negara di bawah skop penyelenggaraan bangunan dengan jumlah keseluruhan
peruntukan RM435 juta.