SUNGAI BULOH, 14 Feb (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini berkata kerajaan pusat memperuntukkan berjumlah RM306.4 juta menerusi KEMAS bagi bantuan dan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak seluruh negara untuk tahun ini.
Pada tahun ini, KEMAS memperuntukkan geran per kapita bernilai RM32.4 juta untuk 396,166 kanak-kanak di bawah Tabika dan RM936,000 untuk 11,520 kanak-kanak di bawah Taska kendaliannya, katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Jalinan Mesra KEMAS Parlimen Subang di Kampung Paya Jaras Hilir di sini.
Geran bagi membantu masyarakat yang berpendapatan rendah itu meliputi kemudahan pakaian, buku-buku serta alat-alat pengajaran dan pembelajaran.
Mohd Shafie berkata: "KEMAS memperuntukkan RM70 juta peruntukan pembangunan tahun 2012 bagi kemudahan fizikal dan prasarana Tabika untuk membolehkan premis Tabika KEMAS dilengkapi dengan peralatan dan perabot bagi menjamin proses pembelajaran yang berkualiti dan efektif."
Sebanyak RM203 juta diperuntukkan menerusi peruntukan mengurus di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi membolehkan Tabika KEMAS beroperasi dengan baik, katanya.
Beliau berkata kementerian akan membuka 1,000 lagi tabika KEMAS di seluruh negara pada tahun ini dengan tumpuan di kawasan luar bandar dan pedalaman di mana hampir 50 peratus pembukaan kelas ini adalah di Sabah dan Sarawak.
Menurut maklum balas yang diterima daripada Kementerian Pelajaran, pendidikan pra sekolah yang diberikan oleh KEMAS kepada kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun telah memberi banyak manfaat kepada kanak-kanak ini kerana mereka lebih mudah menerima pengajaran guru sebab mereka sudah mempunyai asas pelajaran, katanya.
Pada majlis itu, Mohd Shafie juga mengumumkan bantuan kerajaan untuk membaik pulih dua buah rumah dengan kos RM12,000 seunit dan membina 17 unit rumah baru dengan kos RM40,000 seunit untuk kawasan Parlimen Subang.
Selain itu, beliau meluluskan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja perparitan di kawasan Parlimen itu terutamanya di Dewan Undangan Negeri Paya Jaras.
Beliau berkata pada tahun ini, sejumlah RM4 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin untuk seluruh Selangor.
-- BERNAMA