Assalamu’alaikum dan Salam Sejahtera;
Yayasan Sarawak merupakan satu agensi kerajaan yang terpenting di negeri ini dalam usaha menyumbang ke arah pembangunan pendidikan. Justeru itu, program-program serta skim-skim bantuan yang ditaja dan dikelola adalah bermatlamatkan pembangunan pendidikan. Seterusnya ia menjurus kepada pembangunan sumber manusia di negeri ini khasnya dan negara amnya.
Dalam hal ini, penyebaran maklumat berkenaan program-program dan skim-skim ini haruslah berkesan. Ianya harus mempunyai jangkauan sebeberapa jauh dan luas yang boleh. Pada zaman IT ini, kemudahan penyebaran maklumat tidak seharusnya menimbulkan masalah. Kita disajikan dengan pelbagai media, daripada media massa, elektronik dan kini internet.
Saya amat berbangga dengan usaha pihak pengurusan Yayasan Sarawak membangunkan homepage ini. Homepage ini merupakan satu kemajuan di dalam usaha Yayasan Sarawak menyebarkan maklumat di samping merapatkan hubungan dengan pelanggannya. Adalah menjadi harapan saya agar hasil usaha ini dapat dimanfaatkan oleh orang ramai, terutama sekali para pelajar.
Dalam pada itu, saya amat yakin Yayasan Sarawak akan terus berusaha untuk mempelbagaikan skim-skim bantuan pendidikan agar ianya dapat memenuhi keperluan pendidikan di negeri ini.
Sekian, terima kasih.